Tan Sri Syed Hamid Albar , individu pertama yang melarang mingguan Katolik, Herald menggunakan kalimah Allah empat tahun lalu gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada 2009 berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah keputusan yang baik.
“Keputusan dibuat dan kita perlu menghormatinya. Ini adalah kepercayaan umat Islam. Isu sensitif yang perlu difahami oleh semua pihak,” kata bekas menteri itu kepada The Malaysian Insider.
“Ia tiada kaitan dengan politik. Ia bersabit dengan kepercayaan,” katanya.
Syarikat Penyiaran British (BBC) mengulas keputusan Mahkamah Rayuan melarang Herald menggunakan kalimah Allah sebagai usaha Umno mendapatkan semula sokongan orang Melayu.
Herald mendapat kebenaran menggunakan kalimah Allah selepas beberapa siri rundingan dan proses mahkamah asalkan akhbarnya menyatakan ‘untuk penganut Kristian sahaja’.
Syed Hamid sendiri menandatangani surat arahan itu dan digazetkan pada 16 Februari 2009 namun keputusan itu ditarik balik 12 hari kemudian.
Pemilihan Umno pula berlangsung pada Mac tahun sama menjadikan isu itu sebagai satu kelebihan untuk Syed Hamid mendapatkan jawatan dalam parti dan Kabinet.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memilih Syed Hamid untuk menyertai Kabinetnya pada April 2009.
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing mahu penjelasan Syed Hamid, siapa yang mempolitikkan isu ini sehingga keputusan drastik dibuat empat tahun lalu.
“Biar beliau jelaskan kerana tiada pihak yang membangkitkan isu ini sebelumnya dan penduduk di Sabah dan Sarawak tiada masalah menggunakan kalimah Allah dalam Al-Kitab.
Syed Hamid bagaimanapun, berkata keputusannya bukan dipengaruhi ideologi politik tetapi perkara yang betul bagi mengelak kekeliruan umat Islam.
“Keputusan kalimah Allah tidak dipengaruhi emosi dan tiada kena-mengena dengan pemilihan Umno. Ia dibuat demi menegakkan agama dan saya tidak melakukannya untuk kepentingan politik, ” katanya.
Syed Hamid berkata, terdapat beberapa perkataan yang hanya eksklusif untuk umat Islam dan kalimah Allah adalah satu di antaranya.
“Itulah tunjang kepada keputusan saya pada 2009,” katanya. – The Malaysian Insider.
0 komentar:
Posting Komentar