COLOMBO – “CHOGM di Sri Lanka”, bukan “CHOGM mengenai Sri Lanka”.
Demikian perspektif Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013, yang baru saja berakhir di sini.
Ketika menjelaskan pendiriannya itu, Najib, yang mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM, berkaa beliau menghadiri mesyuarat itu di Sri Lanka kerana menghormati pertubuhan berkenaan.
“Ini mengenai Komanwel; secara kebetulan, Sri Lanka menjadi tuan rumahnya,” kata beliau sebagai respons kepada tindakan sesetengah pihak yang membantah kehadirannya di CHOGM berkaitan rekod hak asasi manusia Sri Lanka.
Penganjuran CHOGM di Sri Lanka mendorong sesetengah pihak mengaitkan negara itu dengan rekod hak asasinya, termasuk tuduhan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia ketika tentera Sri Lanka melancarkan operasi di utara negara itu pada 2009.
Beberapa pemimpin, termasuk Perdana Menteri Kanada Stephen Harper dan Perdana Menteri India Manmohan Singh tidak menghadiri mesyuarat itu.
Tuduhan wujudnya jenayah perang di Sri Lanka sedikit sebanyak menjejaskan CHOGM di Sri Lanka.
“Ada tak sesiapa yang mempunyai soalan selain daripada mengenai Sri Lanka atau hak asasi manusia?” tanya Pengarah Komunikasi dan Jurucakap Media Sekretariat Komanwel Richard Uku kepada 200 wartawan pada sidang akhbar terakhir CHOGM 2013 pada Ahad.
Sidang akhbar itu, yang dihadiri presiden negara tuan rumah Mahinda Rajapaksa, sepatutnya berkisar tentang berakhirnya CHOGM 2013.
Najib adalah antara empat pemimpin Komanwel yang diundang menghadiri sidang akhbar itu. Pemimpin lain ialah Presiden Guyana Donald Rabindranauth Ramotar, Perdana Menteri St Kitts & Nevis Denzil Douglas dan Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma.
Pada sidang akhbar itu, Rajapaksa dihujani soalan berkaitan kekejaman yang didakwa berlaku di negaranya.
Dalam responsnya, Rajapaksa menyeru masyarakat dunia supaya memberi peluang kepada Sri Lanka untuk melalui proses pemulihannya setelah mengalami satu perang saudara yang begitu lama.
“Bantulah kami untuk mengubati luka yang dialami, bukan memecahbelahkan rakyat kami,” katanya.
Namun demikian, para pemimpin Komanwel yang menghadiri CHOGM 2013 sepakat menghasilkan kenyataan bersama setebal 21 halaman yang menggariskan komitmen mereka terhadap nilai teras perkumpulan itu, termasuk demokrasi dan hak asasi manusia.
“Ini CHOGM di Sri Lanka, bukan CHOGM mengenai Sri Lanka. Ada perbezaannya,” demikian kesimpulan Najib. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar