(Oleh Aedi Asri)
PELABUHAN KLANG 12 Oktober: Memorandum bagi membantah kehadiran kapal perang Amerika Syarikat, USS George Washington di Pelabuhan Klang ditolak oleh pengurusan Port Klang Cruise Centre (PKCC) hari ini.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath dan Setiausaha Jingga 13, DK Vicky di sini kira-kira 3 petang tadi.
Bagaimanapun, wakil pengurusan PKCC yang hanya ingin dikenali sebagai Zam enggan menerima memorandum tersebut.
Turut serta Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Klang dan beberapa anggota kumpulan terbabit.
Vicky berkata, tindakan kerajaan Umno BN membenarkan kemasukan kapal tersebut berlabuh di perairan Malaysia harus dibantah.
Katanya, kapal yang penuh kelengkapan perang itu ternyata mengancam keamanan dan kedaulatan negara.
“USS George Washington penuh dengan darah beribu Muslim. Ia terlibat dalam jenayah zalim Amerika dalam perang ke atas negara Islam,” katanya.
“Kerajaan Umno BN perlu beri penjelasan. Sebelum ini mereka kerjasama dengan APCO dan benarkan kapal kargo Israel (Zim Europa dan Zim USA), kini USS George Washington pula. Selepas ini apa lagi?,” soalnya.
Arutchelvan turut kecewa dengan sikap sombong wakil PKCC yang enggan menerima memorandum tersebut.
“Kami datang bukan nak buat kecoh, cuma ingin sampaikan bantahan terhadap kapal perang yang ancam kedaulatan tanah air kita.
“Penolakan mereka jelas gambarkan keangkuhan dan tahap profesionalisme mereka dalam menangani hal ini,” kata Arutchelvan.
Dilaporkan kapal induk pesawat udara berkuasa nuklear itu singgah ke Pelabuhan Klang kononnya untuk mempromosi kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat.
Kapal yang ditauliahkan pada 4 Julai 1992 dengan 5,000 anak kapal itu singgah lima hari di pelabuhan tersebut Ahad lalu.
Bagaimanapun, kapal itu terpaksa cabut awal semalam akibat bantahan pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mendesak kerajaan menghentikan kemasukan kapal perang negara kuasa besar dunia kerana bimbang perairan Malaysia terdedah bahaya.
Semalam, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendedahkan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk membenarkan kapal tentera negara itu menggunakan kemudahan ketenteraan di negara ini.
Menurutnya, perjanjian itu menyebabkan kapal-kapal perang Amerika yang sarat dengan senjata nuklear berlabuh di perairan negara.
Keadilan Daily lalu Isnin lalu melaporkan desakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar supaya kapal itu segera meninggalkan negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
0 komentar:
Posting Komentar